KUCHING, 28 Mei: Kemelut tunggakan gaji yang terus membelenggu beberapa pasukan bola sepak tanah air, khususnya dalam saingan Liga Super, dilihat menjejaskan imej keseluruhan bola sepak profesional negara.
Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata peralihan struktur daripada persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC) sepatutnya membuka lembaran baharu yang lebih profesional.
Namun sebaliknya, katanya, banyak pasukan kini bergelut dengan krisis kewangan, malah terjerumus dalam hutang mencecah jutaan ringgit.
“Isu tunggakan gaji bukan perkara baharu, tetapi kini ia sudah menjadi barah. Kita lihat sehingga 50 hingga 60 peratus pasukan dalam liga utama negara berdepan hutang yang besar.
“Ini memberi gambaran yang sangat tidak sihat terhadap masa depan bola sepak profesional kita,” katanya dalam temu bual menerusi panggilan telefon yang disiarkan dalam rancangan Sukan TVS bertajuk “Apa Sudah Jadi Dengan Liga Malaysia”.
Beliau turut mengakui terdapat pasukan yang menunjukkan iltizam untuk terus bersaing meskipun berdepan tekanan kewangan yang berpanjangan.
Antara pasukan yang disebut termasuklah Perak FC, Sri Pahang FC, Kedah Darul Aman FC dan Kelantan Darul Naim FC yang masing-masing dikatakan berdepan pelbagai isu kewangan, termasuk kelewatan dan kegagalan membayar gaji pemain serta pegawai.
“Yang membimbangkan saya adalah bagaimana pasukan-pasukan ini masih diberi lesen untuk beraksi, walaupun terbukti mempunyai tunggakan.
“Ini seolah-olah meletakkan harapan palsu kepada pemain dan menjerat nama baik negara di mata FIFA,” tegasnya.
Beliau turut mempersoalkan keupayaan pihak berkuasa liga dalam menangani isu berkenaan, yang menurutnya hanya akan mengundang kegagalan berulang dari musim ke musim.
“Kalau kita masih benarkan pasukan yang gagal urus kewangan untuk bermain, sedangkan mereka menanggung hutang, nama Malaysia yang akan terpalit. Ini isu integriti dan kredibiliti, bukan semata-mata tentang bola sepak,” ujarnya lagi.
Terdahulu, beberapa pasukan Liga Super dilaporkan mempertimbangkan untuk menarik diri daripada saingan musim hadapan.
Antara pasukan yang dikaitkan termasuk Perak FC, Kedah Darul Aman FC, Kelantan Darul Naim FC dan Sri Pahang FC.