KUCHING, 28 Mei: Kerajaan Sarawak kini giat melaksanakan tujuh projek pembaharuan bandar secara berfasa di seluruh negeri dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan penduduk serta menstruktur semula penempatan tradisional secara lebih teratur dan moden.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, antara lokasi terlibat ialah Pembangunan Darul Hana dan Sungai Bedaun di Kuching, Pembangunan Semula Kampung Datu dan Kemuyang di Sibu, Skim Pembesaran Kampung Jelutong dan Tatau Extension Scheme di Bintulu serta Pembangunan Padang Kerbau, Lopeng di Miri.
“Darul Hana Fasa I dan II mencatatkan perkembangan memberangsangkan dengan sebanyak 557 daripada 564 unit rumah telah diserahkan kepada Ketua Isi Rumah dari Kampung Semarang, Panglima Seman Lama, Pulo Ulu dan kawasan sekitarnya setakat 30 April 2025,” katanya semasa menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar di Persidangan DUN Sarawak hari ini.
Di samping itu tambah beliau, sebanyak 209 rumah tambahan dibangunkan di Sungai Bedaun bagi memenuhi keperluan Ketua Keluarga Tambahan di mana 185 rumah telah diagihkan dan selebihnya akan diserahkan dalam masa terdekat.
“Di Sibu, projek pembangunan semula Kampung Datu Baru menyaksikan 64 daripada 104 rumah telah diagihkan, manakala 40 unit lagi akan diagihkan tidak lama lagi. Di kawasan Kemuyang, 117 daripada 148 rumah telah diserahkan kepada Ketua Keluarga Tambahan dari Kampung Datu, sebahagian Kampung Baharu dan sebahagian Kampung Hilir, Sibu, manakala baki 31 unit dijadual diagihkan sebelum akhir tahun ini,” katanya.
Di Bintulu pula katanya, Skim Pembesaran Kampung Jelutong dan Tatau Extension Scheme dijangka menyiapkan keseluruhan 184 unit rumah menjelang penghujung tahun ini.
“Proses pengagihan kepada Ketua Isi Rumah dan Ketua Keluarga Tambahan dijangka bermula pada suku pertama tahun 2026,”
Jelas Awang Tengah, sebagai kesinambungan kepada kejayaan fasa terdahulu, Projek Darul Hana Fasa III sedang diteruskan dengan pembinaan 94 unit rumah dan tambahan 749 unit lagi dirancang di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” jelasnya.
“Pendekatan serupa turut dirancang di Kampung Datu Lama Blok A, Sibu dan Padang Kerbau, Lopeng di Miri dengan kerja-kerja penyediaan tapak dan infrastruktur akan dimulakan sebelum hujung tahun ini,
“Inisiatif pembaharuan bandar ini bukan sahaja membekalkan perumahan selesa kepada rakyat tetapi turut menyumbang ke arah pembangunan bandar yang lebih teratur, inklusif dan mampan selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030,” jelasnya – TVS