SARIKEI, 28 Mei: Sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) Toyota Hilux musnah terbakar dalam kejadian yang berlaku di Jalan Meranti di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi tersebut, pemandu dan penumpang dilaporkan selamat apabila sempat keluar sebelum api marak membakar keseluruhan kenderaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Penolong Penguasa Bomba Arrahman Chik berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi kejadian, kita mendapati sebuah kenderaan Toyota Hilux berwarna putih terbakar sepenuhnya di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ketika pasukan bomba tiba, api sedang marak dan membakar keseluruhan bahagian kenderaan tersebut.
“Tiada mangsa terlibat kerana kesemua penumpang sempat keluar menyelamatkan diri sebelum api merebak,” tambahnya.
Sebagai tindakan susulan, komander operasi mengarahkan anggota untuk memadamkan kebakaran menggunakan air dari tangki jentera serta pili bomba berhampiran.
Menurutnya lagi, kebakaran tersebut melibatkan kemusnahan keseluruhan pada kenderaan berkenaan dan selepas api berjaya dipadamkan serta keadaan terkawal, pasukan bomba balik ke balai. – TVS