SERIAN, 28 Mei: Sepasang suami isteri maut, manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kampung Engkabang B, Batu 52 Jalan Serian–Sri Aman, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.49 petang sebelum lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, didapati kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah lori, Toyota Hilux dan Perodua Bezza. Pemandu lori berusia 47 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, dua mangsa yang menaiki Toyota Hilux iaitu seorang lelaki dan seorang wanita, masing-masing berusia 50 tahun, tersepit dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada pihak KKM dan polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.