JOHOR BAHRU 28 Mei: Polis menumpaskan satu sindiket menjual dadah menerusi aplikasi WeChat membabitkan rampasan mencecah RM2.3 juta.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, menerusi dua operasi khas di sini dan Pontian pada 20 dan 21 Mei lepas, lapan ahli kumpulan itu termasuk lima lelaki tempatan ditahan.
Katanya, dua wanita asing iaitu masing – masing dari Vietnam dan Myanmar turut diberkas.
“Dalam operasi yang bermula pukul 3.30 petang, pada 20 Mei hingga 11 malam dan pada 21 Mei lalu, polis merampas lebih 15 kilogram (kg) dadah.
“Menerusi serbuan di sebuah apartment di Skudai, lima lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam dan seorang lagi wanita warga Myanmar berusia 29 hingga 54 tahun ditahan.
“Enam suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin manakala semakan rekod mendapati lima suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Tambah beliau, polis turut merampas 7,080 gram serbuk ekstasi, 1,372 gram heroin, 139.34 gram ketamin, 123.10 syabu dan 39.03 gram pil erimin 5.
Katanya, nilai rampasan dadah berjumlah RM1,239. 483 juta itu boleh digunakan oleh seramai 31,899 penagih jika terlepas ke pasaran.
Polis katanya, turut menyita tiga kenderaan, dua motosikal, wang tunai dan pelbagai jenis barang kemas bernilai RM137,273, sementara keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM1,376,765.20.
“Dalam operasi di sebuah rumah teres di Pontian pula, seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun ditahan serta polis merampas pelbagai dadah dianggarkan bernilai RM1, 076 juta.
“Kedua-dua sindiket ini melakukan pembungkusan dan pengedaran dadah di apartment dan rumah teres tersebut yang disewa. Bekalan dadah diperoleh dari utara Semenanjung Malaysia,” katanya.
Beliau memberitahi, urusan jual beli dadah dilakukan sindiket di Johor Bahru itu menerusi aplikasi WeChat.
“Dadah akan diletakkan di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan dan pembeli atau pembekal yang datang akan mengambil barang seterusnya meletakkan duit di situ.
“Mereka sudah mengenal pasti pelanggan tetap sebelum berurus niaga,” ujarnya.
Semua suspek tambahnya, direman untuk siasatan sehingga 2 Jun ini.
Kes disiasat Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala warga Myanmar disiasat dibawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. -TVS.