KUCHING, 28 Mei: Ekonomi Sarawak dijangka terus mencatat pertumbuhan positif dan mampan menjelang 2025, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh serta pelaksanaan berterusan pelbagai inisiatif strategik kerajaan negeri.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sektor perkhidmatan, pembuatan, pembinaan dan pertanian dijangka kekal sebagai pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“Ekonomi Sarawak terus berkembang secara berdaya tahan hasil permintaan domestik yang kukuh dan pelaksanaan berterusan pelbagai inisiatif strategik kerajaan negeri,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Bagi tahun 2024, sektor perkhidmatan dijangka berkembang sebanyak 6.7 peratus dengan semua subsektor mencatat pertumbuhan positif. Sektor pelancongan kekal sebagai penyumbang utama, susulan ketibaan pelancong yang mencecah 4.8 juta, dipacu oleh strategi promosi bersasar dan penambahbaikan infrastruktur sambungan.
“Momentum ini berterusan pada suku pertama 2025, dengan 1.2 juta pelawat direkodkan, sekali gus menyokong pertumbuhan subsektor perdagangan borong dan runcit, penginapan serta pengangkutan,” tambahnya.
Sektor pembuatan turut mencatat prestasi memberangsangkan sepanjang 2024, dipacu oleh peningkatan pengeluaran Gas Asli Cecair (LNG), meskipun berdepan cabaran operasi seperti gangguan bekalan elektrik dan penyelenggaraan berkala loji.
“Eksport LNG meningkat 3.8 peratus, disokong oleh permintaan global yang kukuh dan harga yang menggalakkan. Bagaimanapun, pada suku pertama 2025, pasaran mula menunjukkan kelembapan berikutan tarif timbal balik yang mungkin membawa kepada lebihan bekalan LNG,” jelasnya.
Sementara itu, sektor perlombongan dijangka berkembang 2.3 peratus pada 2024, disumbang oleh operasi medan Kasawari serta pengeluaran petroleum mentah yang stabil. Trend pertumbuhan positif ini turut diteruskan pada suku pertama 2025.
Dalam sektor pertanian, pertumbuhan sederhana sebanyak 2.0 peratus diunjurkan tahun ini, didorong oleh peningkatan hasil tandan buah segar (FFB) walaupun kadar perahan minyak sawit mentah (CPO) mencatat penurunan daripada 19.8 peratus pada 2023 kepada 19.4 peratus tahun ini.
“Namun begitu, pengeluaran sawit bagi suku pertama 2025 menunjukkan peningkatan dengan FFB mencapai 3.3 tan sehektar, berbanding 3.1 tan dalam tempoh yang sama pada 2024. Namun prospek sektor ini kekal bergantung kepada faktor cuaca,” katanya.
Tambah beliau, sektor pembinaan merekodkan pertumbuhan kukuh 8.7 peratus pada 2024, dipacu oleh subsektor kejuruteraan awam yang menyumbang 64.0 peratus daripada keseluruhan nilai kerja, diikuti subsektor bangunan bukan kediaman (13.5 peratus) dan kediaman (11.3 peratus).
“Prestasi memberangsangkan ini didorong oleh pelaksanaan berterusan projek infrastruktur dan utiliti strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan dijangka berterusan pada tahun 2025,” katanya.