Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Barang-barang yang dirampas berkaitan serbuan yang dilakukan polis di Kuching pada 22 Mei. Foto PGA Briged Sarawak

PGA rampas rokok, arak seludup bernilai lebih RM6 juta dalam tiga serbuan

KUCHING, 28 Mei: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak mencatatkan rampasan barangan disyaki berkaitan aktiviti penyeludupan bernilai lebih RM6.3 juta menerusi tiga serbuan di Kuching dan Serian dalam Op Taring Alpha yang dijalankan baru-baru ini.

Timbalan Komander PGA Briged Sarawak, Asisten Komisioner Rosdi Inai berkata kejayaan pertama direkodkan pada 22 Mei lalu apabila sepasukan anggota Cawangan Risik Batalion 11 PGA menyerbu sebuah premis di Kuching yang disyaki dijadikan tempat penyimpanan barangan tidak bercukai.

“Hasil serbuan membawa kepada penahanan enam lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia 27 hingga 46 tahun, serta rampasan 4,881 karton rokok pelbagai jenama dan 7,599.68 liter minuman keras.

“Turut dirampas dua buah van dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM4,027,724.80 juta,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan beberapa akta lain.

Kejayaan kedua pula membabitkan dua serbuan berasingan oleh Cawangan Risik Batalion 23 PGA Sri Aman di daerah Serian, juga pada 22 Mei.

“Serbuan pertama pada jam 1.30 tengah hari berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 39 tahun bersama 2,466 karton rokok putih dan 4,015.68 liter arak, dianggarkan bernilai RM1,046,660.00 juta,” katanya.

Sementara itu, serbuan ketiga yang dilakukan sejam kemudian di lokasi berasingan di daerah sama membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan berusia 18 hingga 22 tahun.

“Pemeriksaan lanjut menemui 2,103 karton rokok dan 3,341.60 liter arak dengan anggaran nilai rampasan RM1,257,884.00 juta,” katanya.

Kesemua tangkapan dan barangan dirampas diserahkan kepada IPD Serian dan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 serta akta berkaitan pihak berkuasa tempatan.

Rosdi berkata, secara keseluruhan Op Taring Alpha yang dilancarkan sejak 1 Januari hingga 25 Mei lalu telah merekodkan 198 kes dengan nilai rampasan mencecah RM249.4 juta.

“Sepanjang tempoh itu, seramai 310 individu ditahan termasuk 76 warga asing, manakala sebanyak 180 kenderaan turut dirampas,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan