SIBU, 28 Mei: Seorang pesara jurutera kerugian lebih RM224,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian tidak wujud dikenali sebagai ‘KKR Investment’.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata mangsa berusia lingkungan 60-an itu mula mengenali skim berkenaan menerusi Instagram pada 9 April lalu sebelum dihubungi dua individu melalui WhatsApp.
“Mangsa diminta memuat turun aplikasi khas untuk menjejak pelaburan dan membuat 11 transaksi berjumlah RM224,403 ke empat akaun bank tempatan antara 9 April hingga 7 Mei,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa kemudian diberitahu pelaburannya telah menjana pulangan RM750,000, namun perlu membayar ‘cukai’ sebanyak RM100,700 sebelum boleh membuat pengeluaran.
Dia membuat laporan polis pada 27 Mei selepas menyedari dirinya ditipu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.