KUCHING, 28 Mei: Sarawak dikecualikan daripada keperluan mendapatkan kebenaran Perdana Menteri di bawah Seksyen 6(1) dan 6(3) Akta Pembangunan Petroleum 1974 bagi menjalankan perniagaan pengedaran gas di negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa Akta Bekalan Gas 1993 tidak terpakai di negeri ini.
Perkara itu dimuktamadkan melalui satu Deklarasi Bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak baru-baru ini.
“Deklarasi Bersama itu turut mengiktiraf kuasa eksekutif Sarawak ke atas Pengedaran Gas. Undang-undang yang mengawal selia pengedaran gas di Sarawak ialah Ordinan Pengedaran Gas, 2016. Dengan adanya Deklarasi Bersama ini, segala kekeliruan berkaitan peraturan telah diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungan dalam Persidangan Hari Kelapan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 di sini pada Rabu.
“Deklarasi ini mengesahkan bahawa undang-undang Persekutuan dan Negeri berkaitan pengedaran gas hendaklah dihormati oleh semua pihak yang terlibat dalam pengedaran dan pembekalan gas di Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Kerajaan Sarawak akan melaksanakan perancangan bagi meningkatkan pengeluaran gas, memastikan penggunaannya secara mampan oleh industri dan menyokong penghasilan tenaga bersih.
“Ini penting bagi memastikan Sarawak mencapai matlamat sebagai Hab Gas Rendah Karbon di Kuching,” jelasnya.
Inisiatif ini katanya membuka peluang pelaburan luas dalam sektor huluan, pertengahan dan hiliran, termasuk pembangunan tapak penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) di perairan barat Sarawak.
Malah projek tersebut jelasnya berpotensj menyumbang RM120 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak dan mewujudkan 185,000 pekerjaan berpendapatan tinggi. -TVS