KUCHING, 28 Mei: Pihak bertanggungjawab dalam pengurusan bola sepak negara digesa bertindak lebih tegas dalam proses pemberian lesen kepada pasukan yang berhasrat beraksi dalam saingan Liga Malaysia.
Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Malaysian Football League (MFL) dan First Instance Body (FIB) perlu melakukan penilaian semula terhadap sistem pelesenan sedia ada bagi memastikan hanya pasukan yang benar-benar layak dari segi kewangan dan pengurusan dibenarkan bersaing.
“Kita tidak boleh lagi berkompromi. Jika pasukan tidak mampu dari aspek kewangan, mereka tidak sepatutnya dibenarkan bertanding. Ini bukan bentuk hukuman, tetapi langkah pembersihan jangka panjang,” katanya dalam rancangan Sukan TVS bertajuk ‘Apa Sudah Jadi Dengan Liga Malaysia’.
Gesaan itu susulan kemelut berpanjangan yang membabitkan beberapa pasukan dalam Liga Malaysia yang masih dibelenggu isu tunggakan gaji, hutang operasi dan kelemahan pengurusan yang memberi kesan langsung kepada pemain serta pegawai pasukan.
Pekan menegaskan, dalam landskap bola sepak profesional, kejayaan sesebuah kelab tidak hanya bergantung kepada prestasi di padang, sebaliknya kepada kecekapan tadbir urus dan disiplin kewangan.
“Jika kita mahu liga kita dihormati, kita perlu buktikan bahawa kita mampu mengurus pasukan secara profesional. Jika tidak, kita hanya menjejaskan masa depan pemain dan imej negara,” katanya.