KUCHING, 28 Mei: Seorang pejalan kaki lelaki warganegara asing maut selepas dilanggar sebuah kereta Lamborghini di Jalan Lapangan Terbang di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati kejadian jam 6.50 petang itu berlaku ketika mangsa berusia 52 tahun yang bekerja sebagai pekerja am di tapak pembinaan ART sedang menyeberangi jalan.
Menurutnya, mangsa telah dilanggar oleh sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 54 tahun yang sedang dalam perjalanan daripada Jalan Lapangan Terbang menuju ke Padungan.
“Akibat kemalangan ini, mangsa yang mengalami kecederaan di kepala telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Sehubungan dengan itu, pemandu kereta tersebut telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau merbahaya sehingga menyebabkan kematian dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi daripada 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi daripada RM50,000.
Pihak polis menyeru agar mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, ASP Lucas Apin di talian 013-8246881 / 082-259900 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. -TVS