KUCHING, 28 Mei: Buku Negeri Santubong: Sejarah Awal Sarawak, karya sejarawan Sarawak merangkap Pengurus Besar Yayasan Budaya Melayu Sarawak (YBMS), Datu Sanib Said, diiktiraf sebagai Buku Terbaik Premier Sarawak (Terbitan Luar) baru-baru ini.
Pengiktirafan itu sekali gus mengangkat usaha beliau dalam menghasilkan bahan bacaan sejarah yang berkualiti dan bernilai tinggi kepada masyarakat.
Sanib berkata buku tersebut merupakan hasil kajiannya selama lebih 30 tahun mengenai sejarah awal Sarawak yang ditulis dengan komitmen tinggi sepanjang tempoh tiga bulan.

“Semasa PKP saya nekad untuk memberi tumpuan selama tiga bulan untuk menulis dengan bekerja selama 10 jam satu hari untuk menyiapkan draf pertama.
“Selepas siapnya draf pertama itu, saya ambil lagi masa tiga bulan untuk menyemak semula dan selepas itu barulah saya menyerahkan draf ini kepada penyunting profesional,” katanya ketika ditemui TVS baru-baru ini.
Beliau berkata, penulisan buku itu bermula ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 pada 2020 yang memberi ruang kepadanya untuk menumpukan sepenuhnya kepada projek berkenaan.
Katanya lagi, beliau bersyukur kerana karya sulungnya itu mendapat pengiktirafan daripada kepimpinan tertinggi negeri.
Sanib turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penghasilan buku berkenaan dan berhasrat untuk menerbitkan lebih banyak buku berkaitan negeri-negeri yang hilang.
“Tujuannya adalah untuk mengembangkan lagi pendapat saya tentang negeri-negeri yang hilang. Khusus untuk tiap-tiap negeri itu insya-Allah kita akan buat satu buku dan ini (buku) yang pertama, Negeri Santubong: Sejarah Awal Sarawak,” katanya.
Sebelum ini, beliau pernah mengemukakan pencalonan buku itu ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023.
Bagaimanapun, percubaannya sekali lagi membuahkan hasil apabila buku tersebut berjaya ke peringkat akhir Anugerah Buku Terbaik Malaysia bagi kategori Buku Bukan Fiksyen (Bahasa Melayu).
“Ramai sarjana-sarjana sejarah awal Asia Tenggara Nusantara dan para ahli arkeologi mengetahui bahawa Santubong ini mempunyai tapak arkeologi terbesar tapi mereka tak dapat mentafsirkannya.
“Selain perdagangan, Santubong juga terkenal sebagai pusat industri besi dan antara yang terbesar di dunia,” katanya.
Menurutnya lagi, industri besi di Sarawak suatu ketika dahulu merangkumi kawasan sepanjang pantai barat negeri ini termasuk Telok Melano, Telok Serabang, Sematan, Lundu, Sampadi, Santubong hingga ke Bako.
Selain itu, masyarakat tempatan ketika itu turut menghasilkan tembikar Melayu sebagai sebahagian daripada warisan industri mereka.
Mengenai perancangan masa depan, beliau menyasarkan untuk menerbitkan sekurang-kurangnya sebuah buku setiap tahun.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan bahawa Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ada menyuarakan hasrat untuk menghimpunkan sejarahwan Sarawak bagi menghasilkan sebuah buku sejarah negeri secara menyeluruh.