SUWON (KOREA SELATAN), 28 Mei: Malaysia mengambil langkah proaktif bagi menangani peningkatan populasi bandar dan jumlah kenderaan di jalan raya menerusi penubuhan Pusat Pengurusan Trafik (TMC) berteknologi tinggi.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata inisiatif itu diterajui kementeriannya bersama agensi berkaitan bagi memastikan aliran trafik yang lebih lancar, selamat dan efisien di seluruh negara.
“TMC ini dilengkapi sensor, kamera pengawasan dan peranti Internet of Things (IoT) untuk pemantauan trafik secara masa nyata.
“Teknologi saling terhubung ini membolehkan pengesanan insiden secara serta-merta, pengurusan kesesakan secara proaktif serta penyampaian maklumat langsung kepada pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Meja Bulat Pengurusan Tertinggi Forum Asia Pasifik Sistem Pengangkutan Pintar 2024 di sini, hari ini.
Menurutnya, TMC turut memanfaatkan data trafik untuk tadbir urus pintar, termasuk menganalisis corak pergerakan, mengoptimumkan isyarat lalu lintas, mengurus penggunaan jalan serta merancang infrastruktur masa depan.
Selain itu, Nanta memaklumkan bahawa teknologi kecerdasan buatan (AI) turut digunakan dalam penyelenggaraan jalan dengan bantuan sensor, dron dan peranti IoT bagi menilai keadaan jalan secara berterusan.
“Data masa nyata membolehkan tindakan pembaikan awal dilaksanakan sebelum kerosakan menjadi serius, sekali gus menjimatkan kos dan mengelakkan gangguan terhadap pengguna jalan,” katanya.