KUCHING, 28 Mei: Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberi jaminan bahawa Sarawak terus menunjukkan prestasi cemerlang dalam sektor perdagangan, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negeri di sebalik ketidaktentuan ekonomi global.
Timbalan Premier Sarawak itu berkata, bersama dengan rakan dagang utama seperti Jepun, China, Korea Selatan dan India, negeri ini mencatatkan pencapaian membanggakan apabila nilai eksport dijangka meningkat sebanyak 2.3% kepada RM133.8 bilion pada tahun 2024.
“Ia dipacu oleh gas asli, petroleum mentah dan minyak sayuran. Manakala import meningkat sebanyak 3.1 peratus kepada RM64.5 bilion, didorong oleh produk petroleum, kenderaan bermotor dan bijih aluminium.
Lebihan dagangan berkembang sebanyak 1.5 peratus kepada RM69.3 bilion, menunjukkan pertumbuhan yang stabil dalam barangan dagangan utama” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Menurut Awang Tengah, walaupun menghadapi cabaran pada suku pertama tahun ini, Sarawak mengekalkan hubungan dagangan yang kukuh dengan rakan dagang utama dan mencatat lebihan dagangan sebanyak RM16.8 bilion.
“Walaupun terdapat turun naik dalam perdagangan, lebihan ini menunjukkan ketahanan ekonomi dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan dinamik perdagangan global yang berubah-ubah,” katanya.
Mengulas lanjut, Awang Tengah menegaskan, Sarawak dijangka tidak mengalami kesan langsung yang ketara daripada tarif balas Amerika Syarikat (AS) namun ketegangan perdagangan yang semakin meningkat dan ketidaktentuan mungkin melemahkan perdagangan luar dan permintaan domestik.
“Namun begitu, hubungan dagangan Sarawak dengan rakan dagang utama di Asia kekal kukuh, disokong oleh Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) untuk mempelbagaikan dan mengembangkan eksport,” jelas beliau. – TVS