Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan. Foto Jabatan Penerangan Malaysia

Lebih 73,500 usahawan PKMS manfaatkan 930 program pembangunan kapasiti

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 28 Mei: Kerajaan Sarawak terus komited memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negeri ini menerusi pelaksanaan hampir 930 program pembangunan kapasiti sejak tahun 2021 hingga suku pertama tahun 2025.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kesemua program ini dirangka untuk meningkatkan keupayaan usahawan dalam bidang keusahawanan, kepakaran teknikal dan kemahiran digital, seiring usaha kerajaan negeri membangunkan ekosistem perniagaan yang berdaya tahan dan mampan.

“Lebih 73,500 usahawan PMKS telah mendapat manfaat daripada program yang dijalankan bersama agensi seperti Institut Koperasi Malaysia, SDEC, INSKEN, Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS), Jabatan Pertanian, RISDA dan TEGAS,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Antara fokus latihan termasuk promosi dan pemasaran, pengurusan kewangan, pengendalian makanan, pembungkusan produk, pensijilan, serta keusahawanan teknikal dan digital.

Menariknya, pada tahun 2024, Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak dengan kerjasama Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) telah menjalin kerjasama strategik bersama TikTok Shop melalui inisiatif dua tahun untuk mempromosikan Sarawak Digital Mall ke peringkat global.

“Lebih 1,000 PMKS dari seluruh Sarawak telah menyertai program ini, dan daripada jumlah itu, 452 usahawan dipilih menyertai latihan intensif. Seramai 353 usahawan berjaya mencapai standard prestasi dan menerima insentif daripada TikTok Shop,” katanya.

Hasil daripada penyertaan ini, usahawan Sarawak mencatatkan jualan kasar sebanyak RM8 juta setakat suku pertama tahun 2025, dengan peningkatan ketara iaitu 119 peratus dalam jualan dan 125 peratus dalam jumlah tempahan.

“Antara kejayaan membanggakan adalah dari Miri, apabila ‘Cosfume by Cosmo Online Cosmetics (M) Sdn Bhd’ mencatatkan jualan bulanan melebihi RM540,000 pada Mac 2025,” ujar beliau lagi.

Tambah beliau, usaha memperluas akses pasaran turut diperkukuh menerusi penyertaan PMKS Sarawak dalam ekspo peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti Showcase Usahawan Sarawak, Sabah International Food Expo, Satu Daerah Satu Industri dan FHA Food & Beverage 2025, yang secara keseluruhan menjana lebih RM34 juta pendapatan kepada lebih 1,200 usahawan.

Dalam pada itu, pejabat perdagangan Sarawak di luar negara seperti STATOS di Singapura dan STATOB di Brunei juga memainkan peranan penting dalam merancakkan hubungan perdagangan serantau.

Setakat ini, enam perjanjian pengedaran telah dimeterai antara Sarawak dan Singapura, melibatkan nilai jualan RM63.5 juta dan pelaburan pertanian bernilai RM7.5 juta.

Sebagai usaha lanjutan, Sarawak bakal menganjurkan Sarawak Mega Fair 2025 di Singapura pada Oktober ini bersama STATOS bagi membantu usahawan tempatan menembusi pasaran global. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan