PUTRAJAYA, 28 Mei: Institusi audit perlu diberikan kuasa untuk berfungsi secara bebas bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti pengurusan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui, sebelum ini juruaudit dan firma audit tidak sepenuhnya bebas kerana menjadi sasaran penyalahgunaan kuasa.
“Kadang-kadang terdapat kerjasama (hubungan) yang tidak wajar. Sebagai contoh, isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan kerjasama dengan firma audit besar.
“Jadi, ini bukan soal sindiran kerana memang ada bukti yang cukup.
“Oleh sebab itu, bagi saya, adalah sangat penting agar semua institusi audit diberi kuasa untuk beroperasi secara bebas dan mengikuti jejak akauntabiliti ke mana sahaja ia dibawa,” katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Persidangan Juruaudit 2025 di Putrajaya, hari ini.
Yang turut hadir Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Mengulas lanjut, Anwar berkata sebagai pemimpin Kerajaan Perpaduan, beliau sekali lagi mengulangi pendirian untuk tidak mencampuri atau mengubah laporan audit yang disediakan oleh Jabatan Audit Negara (JAN).
Jelasnya, ketelusan laporan tersebut wajib menjadi amalan tadbir urus yang baik dan dihormati oleh semua pihak termasuk pentadbiran kerajaan.
“Saya telah beritahu Jemaah Menteri, saya tidak mencampuri urusan dalam kandungan laporan audit.
“Mereka ada maklumkan kepada saya beberapa minggu lepas, tetapi saya tidak campur tangan atau ubah laporan tersebut.
“Hanya makluman sebelum laporan dibentangkan kepada Kabinet dan seterusnya kepada Parlimen untuk perbahasan umum. Inilah maksud sebenar tadbir urus dan ketelusan,” katanya.
Anwar menjelaskan, pendirian itu diambil bagi memenuhi komitmen kerajaan terhadap kebebasan institusi dan usaha membina semula kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran negara. – TVS.