Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dua lelaki dipercayai ah long dihadapkan ke tiga Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan melakukan khianat dengan cara menyimbah cat pada kediaman dan kereta. Foto, TVS.

Dua lelaki dipercayai ah long didakwa lakukan khianat, ugutan

ByTVS

JOHOR BAHRU, 28 Mei: Dua lelaki dipercayai ah long dihadapkan ke tiga Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan melakukan khianat dengan cara menyimbah cat pada kediaman dan kereta.

Tertuduh, R. Sahswin, 25 dan P.Yugendran, 31, mengaku bersalah bagi kesemua pertuduhan.

Majistret A. Shaarmini menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,500 setiap seorang atau 12 bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa melakukan khianat dengan menyimbah cat ke pagar rumah milik seorang individu di Jalan Jenawi 8, Taman Puteri Wangsa di sini, pukul 10.57 malam, 1 Mei lalu yang menyebabkan kerugian lebih RM35.

Di hadapan Majistret Nabilah Nizam pula, Sahswin didenda masing-masing RM1,000 bagi dua pertuduhan menyimbah cat ke atas sebuah rumah dengan kerugian RM350 serta ke atas kereta Honda City dengan kerugian RM350.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Ladin 11, Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, jam 10.40 malam, 1 Mei lalu dan Jalan Tun Abdul Razak di sini, kira-kira jam 12.20 tengah hari, 27 April lalu.

Yugendran pula didenda RM2,200 atau 12 bulan penjara oleh Majistret Atifah Hazimah Wahab selepas mengaku bersalah menyimbah cat merah ke atas pagar rumah seorang lelaki dengan menyebabkan kerugian RM249.37 di Jalan Hang Jebat 4, Taman Skudai Baru di sini, pukul 3.12 petang, 28 April lalu.

Bagi semua perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Majistret Shaarmini, Sahswin yang juga penganggur itu dituduh melakukan ugutan jenayah terhadap seorang lelaki melalui kertas notis untuk membakar rumah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sahswin dibenarkan ikat jamin RM4,000 bagi kes ugutan itu dan mahkamah menetapkan 11 Jun depan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Sahswin sekali lagi dituduh di hadapan Majistret Shaarmini dan dikenakan denda RM2,500 atau enam bulan penjara selepas mengaku salah memberikan dadah berbahaya ke dalam dirinya di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara, jam 3.55 petang, 15 Mei lalu.

Yugendran pula dikenakan hukuman denda RM1,800 atau enam bulan penjara oleh Majistret Nabilah selepas mengaku bersalah memberikan dadah berbahaya ke dalam diri sendiri pada jam 4 pagi, di tempat dan hari yang sama dengan Sahswin.

Mereka yang didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 itu turut diperintahkan untuk pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

Pada masa sama, di hadapan Majistret Atifah Hazimah, Sahswin dan Yugendran bersama seorang lagi tertuduh, SK Kiren, 24, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki 20.04 gram ganja di Jalan Inang 7, Taman Skudai Baru di sini, kira-kira jam 11.40 malam, 14 Mei lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat sehingga sembilan sebatan, jika sabit kesalahan.

Setiap seorang dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa dan Nik Noratini Nik Azman manakala peguam, V. Pushparajan mewakili kesemua tertuduh.  -TVS. 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan