KUCHING, 28 Mei: Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman menasihati seluruh warga kota supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga dalam menangani penularan wabak rabies.
Ini susulan daripada satu kes baharu jangkitan rabies dalam kalangan manusia melibatkan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dari Kampung Segedup di sini, baru-baru ini.
Menurut beliau, DBKU komited dalam menangani penularan wabak rabies dan sedang giat melaksanakan program intervensi terutamanya bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai penyakit berkenaan.
“Adalah diharapkan setiap penduduk ambil maklum akan tanda-tanda penyakit rabies pada manusia dan juga haiwan khususnya anjing dan kucing. Selain dari itu, pihak awam seharusnya mengetahui langkah bagi mengelak terkena jangkitan rabies seperti mengelak daripada terkena gigitan dan cakaran haiwan.
“Seterusnya, orang awam hendaklah mengetahui tindakan yang perlu diambil apabila terkena gigitan atau cakaran haiwan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya lagi, pendekatan lain yang sedang dijalankan oleh DBKU bagi membendung penularan penyakit rabies termasuklah operasi penangkapan anjing merayau, program melesenkan dan vaksinasi anjing.
“Langkah-langkah ini bertujuan memastikan penularan penyakit rabies dapat dibendung dan seterusnya menjamin keselamatan awam dilindungi.
“DBKU akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi memperhebatkan tindakan kawalan serta kempen kesedaran awam berkaitan rabies,” katanya.
Beliau turut menyeru semua warga Kuching Utara untuk bersama-sama memainkan peranan dalam mengekang penularan penyakit rabies, keselamatan dan kesihatan warga kota adalah keutamaan DBKU.
Menurut rekod Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), sejumlah 83 orang dilaporkan meninggal dunia akibat rabies dari tahun 2017 hingga 2025.-TVS