Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Antara gelagat penyokong yang hadir untuk memberi sokongan pada perlawanan saingan Piala Cabaran Maybank Malaysia 2025 antara Manchester United menentang ASEAN All-Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. Foto Bernama

Dari meja rundingan ke padang bola, Manchester United satukan peminat bola sepak ASEAN

ByBernama

KUALA LUMPUR, 28 Mei: Usai Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan melabuhkan tirai di sini semalam, berlangsung satu lagi pertemuan yang menjadi simbol perpaduan, namun kali ini bukanlah di dewan persidangan tetapi di padang bola.

Jika pada persidangan itu para pemimpin bermesyuarat dan berjabat tangan, di Piala Cabaran Maybank di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini, pertembungan pasukan liga Inggeris Manchester United dengan ASEAN All-Stars menampilkan ‘seni’ diplomasi berbeza.

Dari Jakarta ke Manila, Bangkok ke Ho Chi Minh City, peminat dari seluruh Asia Tenggara memenuhi stadium ikonik Malaysia itu, sekali gus membuktikan dalam rantau yang kaya budaya dan diversiti ini, bola sepak masih menjadi antara titik persamaan yang menyatukan warganya.

Bagi Khamsay Yomsamone, 43, dari Vientiane, kunjungan kali pertamanya ke Malaysia ini akan menjadi kenangan indah apabila berpeluang menonton pasukan Red Devils secara langsung buat julung kalinya.

“Saya mula menyokong Manchester United ketika era Ryan Giggs dan David Beckham. Macam tak percaya saya akan menyaksikan pasukan kegemaran saya malam ini,” katanya kepada Bernama.

Khamsay, yang tiba di sini semalam, berharap Bounphachan Bounkong, satu-satunya pemain Laos dalam skuad ASEAN All-Stars akan beraksi cemerlang menentang anak buah Ruben Amorim.

Meramalkan kemenangan 5-3 untuk Manchester United, Khamsay inginkan kedua-dua pasukan mempersembahkan perlawanan yang mengujakan.

Dia juga mahu melihat lebih banyak perlawanan ASEAN All-Stars bertemu kelab global utama diadakan di bandar-bandar sekitar rantau ini bagi menghubungkan lebih ramai peminat dengan pasukan itu.

Sementara itu, Warinthorn Mitrchob dari Thailand, 19, yang menjangkakan Manchester United bakal unggul 3-0, hendak melihat idolanya Harry Maguire menerobos gawang gol skuad bimbingan Kim Sang Sik.

Seorang lagi penggemar Manchester United dari Syria, Morrison Darwich, 32, pula menaruh harapan agar penjaga gol Manchester United Andre Onana tidak melakukan sebarang kesilapan hari ini.

“Ia bergantung pada penjaga gol (Onana) jika dia main tak bagus kita akan kalah,” katanya

Iqbal Azhar, 25, yang terbang dari Jakarta, percaya ASEAN All-Stars mampu memberi ‘ancaman’ kepada juara Liga Perdana Inggeris 13 kali itu.

“Mereka (ASEAN All-Stars) mungkin perlu bertahan dengan baik dan cuba bermain ‘serang balas’ untuk jaringkan gol. Bagaimanapun, saya jangka Manchester United tetap menang 3-1,” katanya.

Meskipun pasukan ASEAN All-Stars ketiadaan beberapa pemain utama kerana komitmen dengan pasukan kebangsaan mereka, Iqbal optimistik perlawanan itu akan tetap menarik dan menghiburkan.

Kali terakhir Manchester United beraksi di Malaysia ialah pada 2009 ketika jelajah pramusim dengan rekod dua kemenangan ke atas Malaysia XI, masing-masing 3-2 dan 2-0.

Selepas aksi di Bukit Jalil, skuad kendalian Ruben Amorim itu akan meneruskan jelajah pascamusim ke Hong Kong untuk bertemu pasukan kebangsaan negara itu pada 30 Mei ini di Stadium Hong Kong. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan