KUCHING, 28 Mei: Kerajaan Sarawak mempergiatkan usaha pembangunan infrastruktur keusahawanan menerusi pembinaan 18 Anjung Usahawan dengan peruntukan sebanyak RM11.5 juta bagi merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan luar bandar dan pedalaman negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kemudahan tersebut disediakan khusus bagi menyokong usahawan tempatan, terutamanya di kawasan yang jauh dari pusat ekonomi utama, agar mereka mempunyai akses kepada ruang niaga yang selesa dan kondusif.
“Setakat suku pertama tahun 2025, sebanyak empat Anjung Usahawan telah siap dibina, dua lagi sedang dalam pembinaan manakala 17 lagi dalam pelbagai peringkat pra-pelaksanaan,” katanya semasa menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar di Persidangan DUN Sarawak hari ini.
Tambah beliau, inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri mewujudkan ekosistem perniagaan yang dinamik dan mampan, selaras dengan agenda pembangunan industri Sarawak.
Selain itu, Awang Tengah turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) atas pelaksanaan Program Pembangunan Premis – Tamu Desa yang menyokong peningkatan infrastruktur perniagaan kecil di luar bandar.
“Daripada 39 projek Tamu Desa, 26 telah siap dibina manakala 13 lagi dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2025, melibatkan peruntukan sebanyak RM8 juta.
“Program ini memberi manfaat besar kepada para penjaja dan peniaga kecil di kawasan luar bandar,” katanya lagi.
Beliau menjelaskan bahawa usaha berterusan untuk menyediakan kemudahan perniagaan ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan dalam memperkasa usahawan tempatan, memperluas peluang ekonomi dan mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar. – TVS