Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) menerusi Inisiatif Baharu yang dilaksanakan sejak Oktober 2010 telah mencatat pencapaian ketara apabila lebih 1.2 juta hektar tanah berjaya diukur secara perimeter sehingga 30 April lalu. Foto hiasan, Envato.

1.2 juta hektar tanah NCR berjaya diukur secara perimeter

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 28 Mei: Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) menerusi Inisiatif Baharu yang dilaksanakan sejak Oktober 2010 telah mencatat pencapaian ketara apabila lebih 1.2 juta hektar tanah berjaya diukur secara perimeter sehingga 30 April lalu.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam ucapan penggulungannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.

Perkembangan itu sekali gus memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam mengiktiraf dan mempertahankan hak rakyat terhadap tanah NCR mereka yang sah dan sahih mengikut lunas perundangan.

“Sehingga kini, seluas lebih kurang 1,200,766 hektar atau 2,967,093 ekar telah berjaya diukur secara perimeter, dan daripada jumlah tersebut, 935,760 hektar atau 2,312,263 ekar telah diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak,” katanya.

Menurut beliau, kerja-kerja pengukuran dilaksanakan berdasarkan permohonan daripada pihak yang terlibat, dengan penekanan terhadap pendekatan menyeluruh dan menyantuni kehendak komuniti luar bandar.

Sejak tahun 2017, program ini turut diperluas kepada pengukuran lot individu bagi tujuan pengeluaran surat hak milik di bawah Seksyen 18, khusus bagi kawasan yang telah diwartakan dan berdasarkan kesediaan penuntut.

“Sehingga 30 April 2025, sebanyak 99,438 lot individu melibatkan kawasan seluas 118,749 hektar atau 293,429 ekar telah berjaya diukur untuk proses pengeluaran surat hak milik,” jelasnya lagi.

Tambah beliau, inisiatif ini bukan sahaja membawa kejelasan pemilikan tanah dalam kalangan rakyat, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi luar bandar, khususnya dalam sektor pertanian moden dan berasaskan komuniti.

“Kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam memperkasakan rakyat, bukan sahaja dari sudut ekonomi, malah dari segi hak tanah yang menjadi asas penting kepada kestabilan dan kemajuan masyarakat luar bandar,” tegasnya.

Program ini dijangka akan diteruskan secara berfasa bagi memastikan lebih ramai pemilik tanah NCR mendapat manfaat secara adil dan menyeluruh. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan