KUALA LUMPUR, 27 Mei: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa Timor-Leste bakal menyertai ASEAN sebagai anggota penuh menjelang Oktober ini.
Perdana Menteri berkata, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 akan membantu negara itu memenuhi instrumen ekonomi, politik dan undang-undang yang ditetapkan untuk menjadi anggota penuh blok serantau itu.
Jelas Anwar, persetujuan itu akan dilaksanakan sebelum Sidang Kemuncak ASEAN yang seterusnya pada Oktober depan.
“Malaysia, Indonesia dan sebilangan negara juga telah membantu dengan pelbagai cara untuk memastikan mereka memenuhi cadangan yang ditetapkan secara konsisten,” katannya pada sidang media selepas Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di sini, hari ini.
Tambah Anwar, beliau juga berpuas hati dengan keputusan yang telah dicapai itu.
“Keputusan dan konsensus (negara anggota) ialah kami akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk memastikan mereka masuk ASEAN menjelang Oktober sebagai ahli penuh,” katanya.
Pada Ahad, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ketika ini, terdapat banyak instrumen undang-undang yang perlu dilaksanakan Timor -Leste sebelum diiktiraf sebagai anggota penuh ASEAN.
Sebelum ini negara itu yang mencapai kemerdekaan pada 2002 memohon untuk menyertai ASEAN sejak 2011 dan telah diberikan status pemerhati pada mesyuarat peringkat tertinggi pada 2022. -TVS.