KUCHING, 27 Mei: Kerajaan Sarawak melalui inisiatif SeDidik menerima sumbangan 427 tablet bagi menyokong Program Literasi Digital ‘KIDS: Bits and Bytes’, yang kini diterapkan secara menyeluruh dalam kurikulum prasekolah di negeri ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata program berkenaan dilancarkan kementeriannya bersama The Dariu Foundation, Rolf Schnyder Foundation, Universiti Swinburne Sarawak.
“Dengan sumbangan 427 tablet, program ini kini sepenuhnya diterapkan dalam kurikulum prasekolah SeDidik, menjadikan Sarawak negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan program sedemikian secara meluas,” ujarnya ketika sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Mengulas lanjut, Fatimah berkata program yang bermula sebagai projek perintis pada 2023 di enam pusat SeDidik itu kini telah berkembang ke 64 pusat di seluruh Sarawak.
“Sehingga kini, 117 guru telah dilatih dan seramai 1,435 kanak-kanak prasekolah termasuk mereka yang berkeperluan khas telah menerima latihan sesuai usia dalam pengkodan, literasi digital dan keselamatan internet,” tambah beliau.
Fatimah turut menegaskan usaha ini adalah langkah penting dalam menyediakan asas digital bagi masa depan kanak-kanak Sarawak.
“Pelaburan dalam kualiti dan kesaksamaan ini memastikan anak-anak kita tidak ketinggalan dalam era digital.
“Program ini diharap dapat memupuk minat teknologi sejak usia awal, sekaligus membina asas kukuh untuk masa depan mereka yang serba canggih dengan teknologi,” katanya. – TVS