KUCHING, 27 Mei: Sukan Borneo yang bakal membuat kemunculan semula pada 24 hingga 28 September 2025 dijangka menghidupkan kembali tradisi kesukanan dan semangat perpaduan serantau.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran sukan itu akan mempererat hubungan antara Negara Brunei Darussalam, Kalimantan Timur, Kalimantan Barat, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak.
“Pada asalnya dianjurkan oleh Kelab Rekreasi Seria, Negara Brunei Darussalam, Sukan Borneo telah berkembang menjadi simbol hubungan serantau yang menyatukan sukan dan kebanggaan budaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Menurutnya, penganjuran semula Sukan Borneo dipelopori oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Visinya bukan sekadar mengenai sukan, tetapi turut bertujuan menyatukan rakyat Borneo, memupuk keamanan, mengeratkan hubungan serantau dan memperkasa belia dengan jati diri serta budaya,” katanya.
Jelas beliau, inisiatif ini sejajar dengan Rancangan Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak yang mengiktiraf sukan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat, pelancongan dan diplomasi serantau.
“Kementerian saya bersama-sama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) telah diamanahkan untuk memastikan Sukan Borneo menjadi platform yang meriah bagi kecemerlangan sukan dan perayaan budaya.
“Sukan Borneo 2025 akan menampilkan lebih 1,000 atlet dan pegawai yang bertanding dalam acara sukan utama seperti olahraga, renang, boling padang, memanah dan badminton, selain sukan tradisional seperti menyumpit dan tarik tali,” katanya.