BALIK PULAU, 27 Mei: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera anak perempuan mereka sehingga mengalami kecederaan fizikal dua minggu lalu.
Tertuduh, Chew Kok Wan, 47, dan isterinya, Mak Wai Peng, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara bersama terhadap mereka di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Berdasarkan pertuduhan, mereka sebagai orang yang mempunyai hubungan pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun telah didapati menganiaya iaitu dengan cara menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium di Bayan Lepas kira-kira pukul 7.30 pagi pada 18 Mei lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang jika sabit kesalahan boleh denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, V. Parthipan.
Hakim menetapkan mereka dibenarkan diikat jamin RM10,000 setiap seorang beserta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan iaitu perlu lapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, dilarang mengganggu mangsa dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Kes itu akan disebut semula pada 1 Julai depan.
Media sebelum ini melaporkan, sepasang suami isteri ditahan polis seleas disyaki mendera anak kandung mereka selain mangsa dikatakan pernah dikurung dalam sangkar anjing.
Kejadian terhadap murid darjah enam itu disedari guru kaunseling sekolah selepas mengesan lebam dan luka pada belakang badan mangsa. – TVS