KUCHING, 27 Mei: Sarawak memperkukuh kedudukan dalam pelancongan kesihatan serantau melalui kerjasama erat dengan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) dan penyertaan dalam Malaysia Healthcare Expo (MHX).
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, menegaskan bahawa ia merupakan komitmen kerajaan negeri dalam membangunkan segmen ini sebagai salah satu aspek penting dalam produk pelancongan Sarawak.
“Kementerian saya juga memberikan penekanan yang kuat terhadap pelancongan kesihatan dengan mempromosikan kedua-dua rawatan perubatan dan pengalaman kesejahteraan,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Selasa.
Menurut laporan Global Market Insight, pasaran pelancongan perubatan dan kesihatan ASEAN dinilai pada USD51.5 bilion pada tahun 2023, dan dijangka berkembang pada kadar 12.7 peratus setahun dari tahun 2024 hingga 2032.
Dalam konteks ini, Abdul Karim berkata Sarawak dilihat mempunyai potensi besar untuk menjadi pemain utama dalam pasaran ini.
“Berdasarkan data daripada MHTC, sektor pelancongan kesihatan Sarawak menunjukkan pertumbuhan ketara pada tahun 2024, dengan kehadiran 68,655 pelawat kesihatan meningkat 6.6 peratus berbanding 64,393 pelawat pada tahun sebelumnya,” katanya.
Kenaikan ini menyumbang kepada peningkatan hasil sebanyak 13.65 peratus mencecah RM141.5 juta pada 2024 berbanding RM124.5 juta pada 2023.
Katanya lagi, Indonesia dan China merupakan penyumbang utama kepada hasil pelancongan kesihatan Sarawak.
Pengunjung dari Indonesia mencatatkan 52,850 ketibaan dengan hasil sebanyak RM127 juta, manakala pengunjung dari China menyumbang 3,565 ketibaan dengan hasil RM3.6 juta.
Manakala pelawat dari Brunei menyumbang 3,239 ketibaan dengan hasil RM2.5 juta, diikuti Filipina (1,061 ketibaan, RM1.04 juta) dan India (808 ketibaan, RM0.6 juta). -TVS