KUCHING, 27 Mei: Kerajaan Sarawak meluluskan lapan inisiatif berkaitan perumahan di bawah program Projek Rakyat sebagai langkah memperkukuh infrastruktur dan kemudahan perumahan di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata daripada jumlah tersebut, dua projek telah siap sepenuhnya.
“Ini melibatkan kerja-kerja menaik taraf infrastruktur di Skim Pembesaran Kampung (SPK) Tian dan SPK Igan,” kata beliau.
Kui Hian berkata demikian pada sesi penggulungan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan semasa Persidangan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada Selasa.
Beliau turut menjelaskan bahawa empat lagi projek sedang dalam pelaksanaan, termasuk pembinaan 62 unit Rumah SPEKTRA Permata (RSP) di SPK Santubong, 50 unit RSP di SPK Hulu Kabong dan SPK Gedong, serta kerja tanah untuk SPS Banting Fasa 4 di Lawas.
“Manakala baki dua projek lagi kini berada di peringkat perancangan,” tambah beliau.
Untuk rekod, Projek Rakyat merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak bagi memastikan akses kepada perumahan selesa dan berkualiti selain memperbaiki kemudahan asas khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Pelaksanaan inisiatif ini diharap dapat meningkatkan kualiti hidup penduduk serta menyokong pembangunan mampan di seluruh negeri.—TVS