Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Program Sarawak-Malaysia My Second Home (SMM2H) terus mencatat pencapaian memberangsangkan apabila sebanyak 265 permohonan telah diluluskan dalam tempoh Januari hingga pertengahan Mei 2025, melibatkan jumlah deposit tetap (Fixed Deposit) sebanyak RM65.3 juta. Foto hiasan Envato

RM65.3 juta pelaburan diperoleh, 265 permohonan lulus sehingga Mei 2025

ByAdlina Rahman

KUCHING, 27 Mei: Program Sarawak-Malaysia My Second Home (SMM2H) terus mencatat pencapaian memberangsangkan apabila sebanyak 265 permohonan telah diluluskan dalam tempoh Januari hingga pertengahan Mei 2025, melibatkan jumlah deposit tetap (Fixed Deposit) sebanyak RM65.3 juta.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sejak kementeriannya mengambil alih pengurusan program tersebut pada tahun 2020, permohonan SMM2H telah menunjukkan peningkatan yang ketara.

“Dalam tempoh hanya lima tahun dan empat bulan, jumlah keseluruhan permohonan yang telah diluluskan mencecah 1,901 permohonan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada hari ketujuh Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Sejak program ini mula diperkenalkan pada tahun 2007, sebanyak 3,141 permohonan telah diluluskan sehingga pertengahan Mei 2025, jelas beliau.

Bagi tahun 2024 sahaja, katanya, sebanyak 560 permohonan telah diluluskan, dengan jumlah deposit tetap sebanyak RM111.6 juta, mencerminkan sumbangan ekonomi yang besar kepada negeri ini.

Lima negara utama penyumbang permohonan SMM2H adalah China (513 pemohon), United Kingdom (384 pemohon), Taiwan (277 pemohon), Hong Kong (267 pemohon) dan Amerika Syarikat (262 pemohon).

Mengulas lanjut, Abdul Karim memaklumkan bahawa kerangka pelesenan baharu untuk ejen SMM2H telah diperkenalkan mulai 1 Januari 2025 bagi memperkemaskan pengurusan program.

Kerajaan Sarawak juga telah menubuhkan Panel Bank SMM2H bagi memudahkan pembukaan akaun deposit tetap serta menyediakan pakej perbankan yang lebih menarik dan mesra kepada pemohon antarabangsa.

“Kuasa untuk menguruskan Lesen Perniagaan Pelancongan tempatan bagi ejen SMM2H juga telah diserahkan kepada kementerian saya melalui Surat Pelantikan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bertarikh 30 Oktober 2024,” ujarnya.

Langkah ini, katanya, membolehkan Sarawak mengurus program SMM2H secara lebih sistematik serta menawarkan nilai tambah yang lebih kompetitif kepada pemohon antarabangsa. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan