KUCHING, 27 Mei: Keberanian Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam memperjuangkan hak negeri terus mendapat pengiktirafan daripada barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Parti Sarawak (GPS), khususnya kumpulan penyokong kerajaan (Backbenchers) yang menyifatkan beliau sebagai pemimpin yang membawa haluan jelas kepada kemajuan Sarawak.
Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, ketegasan dan keberanian Abang Johari dalam mempertahankan hak Sarawak telah menghasilkan pelbagai kejayaan yang kini dirasai rakyat.
“Premier Sarawak telah mengambil pendirian yang tegas apabila ia paling diperlukan dan kami rakyat Sarawak akan sentiasa berterima kasih atas keberanian tersebut.
“Anda telah menunjukkan jalan dan membuktikan bahawa perkara itu boleh dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada Majlis GPS Backbenchers Night ‘One For All, All For One (Sarawak First) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak malam ini.
Antara pencapaian besar hasil keberanian politik Premier, katanya, termasuk pelaksanaan Cukai Jualan Negeri (CJS) pada 2019 dan penggubalan undang-undang berkaitan gas asli pada 2023.
“Saya masih ingat pada tahun 2019, Yang Amat Berhormat telah mengumumkan pelaksanaan Cukai Jualan Negeri (Sales Tax) demi manfaat Sarawak, dan pada tahun 2023, kita berjaya menggubal undang-undang berkaitan gas asli (gas additive).
“Kini kita dapat melihat hasil daripada undang-undang ini yang memberi manfaat kepada rakyat Sarawak,” tambahnya lagi.
Beliau turut mengakui bahawa isu seperti perjanjian antara PETROS dan PETRONAS menuntut penelitian dan kebijaksanaan yang tinggi daripada pihak kepimpinan.
“Kami faham bahawa minggu lepas Premier telah disibukkan sepenuhnya dengan urusan penting termasuk perjanjian antara PETROS dan PETRONAS.
“Ini menunjukkan bahawa perkara ini sangat kompleks dan tidak semudah seperti yang kita sangka. Terima kasih Premier,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Fazzrudin turut menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Speaker dan kakitangan DUN atas kelancaran sidang DUN selama tujuh hari, di samping menyeru agar lebih banyak penglibatan menteri dan timbalan menteri dalam aktiviti pada masa hadapan. – TVS