Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah semasa sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Selasa. Foto TVS

Peruntukan RM3.37 juta untuk naik taraf kemudahan pelancongan Sarawak

ByHandy G

KUCHING, Mei 27: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM3.37 juta bagi menaik taraf dan membaik pulih pelbagai kemudahan pelancongan serta inap desa (homestay) di seluruh negeri dalam usaha menyokong pertumbuhan industri yang kian berkembang.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata peruntukan tambahan ini diperoleh hasil kerjasama rapat dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk membiayai sejumlah 15 hingga 24 projek yang tersenarai.

“Antara projek utama yang menerima peruntukan tersebut termasuk menaik taraf kemudahan pelancongan di Telaga Air Waterfront, Taman Negara Bako, Taman Negara Bukit Lambir serta trek hutan di Taman Tumbina, membaik pulih kemudahan pelawat di Rizab Alam Semula Jadi Tun Ahmad Zaidi, Sibu dan menaik taraf kemudahan pelancongan di beberapa homestay popular termasuk Homestay Santubong, Homestay Lobang Batu dan Homestay Rumah Margretta di Kerangan Buloh, Julau,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Selasa.

Menurut beliau, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh daya tarikan pelancongan Sarawak sekali gus meningkatkan ekonomi setempat dan membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat luar bandar.

Selain itu, kata Abdul Karim terdapat beberapa projek mega giat dilaksanakan termasuk kerja mentransformasi bangunan lama Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi Pusat Seni Persembahan bertaraf dunia yang dijangka siap pada penghujung 2027.

“Projek ini diinspirasikan oleh reka bentuk Royal Albert Hall di London dan akan menjadikan Sarawak sebagai destinasi utama persembahan antarabangsa,” kata beliau.

Sementara itu, jelasnya pusat Kraftangan Sarawak juga dijangka mula dibina pada 2026 bagi memelihara warisan seni kraf tempatan serta menyediakan ruang khas bagi memasarkan produk mereka.

Tidak ketinggalan, menurut Abdul karim pembangunan semula Kolam Renang MBKS menjadi Taman Air dan Pusat Kreatif UNESCO Gastronomi pula dijangka siap pada awal 2026 yang berperanan melestarikan warisan makanan Kuching dan menyokong industri kreatif tempatan.

Selain itu, Abdul Karim berkata, projek penubuhan pusat sokongan pelancong untuk Lundu dan Sematan juga akan siap tahun ini sebagai usaha mempergiatkan lagi pembangunan pelancongan di kawasan berkenaan.

Beliau dalam pada itu menegaskan bahawa dengan berakhirnya Pelan Malaysia ke-12 (2021-2025) menyaksikan persediaan bagi Pelan Malaysia ke-13 (2026-2030) giat dilaksanakan sebagai inisiatif melonjakkan lagi sektor pelancongan dan menyumbang kepada kemakmuran Sarawak menjelang 2030. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan