KUCHING, 27 Mei: Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Norizan Jili menyempurnakan simbolik penyerahan Sumbangsih Gawai 2025 kepada Timbalan Pengarah JPJ Sarawak, Nor Azlan Ibrahim hari ini.
JPJ Sarawak dalam kenyataannya berkata, penyerahan ini melambangkan penghargaan kepada semua anggota penguatkuasa JPJ beruniform di seluruh negeri Sarawak yang bertugas di Bahagian, Cawangan, Stesen Penguatkuasa, Stesen Kawalan Sempadan dan Pejabat UTC.
“Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak yang melibatkan agensi penguatkuasa di Sarawak.
“Ia bertujuan menyampaikan tanda penghargaan dan sokongan kepada anggota barisan hadapan yang terus komited menjalankan tugas sepanjang musim perayaan,” kata kenyataan itu.
Beberapa agensi beruniform lain yang turut menerima sumbangsih ini termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta beberapa agensi penguatkuasa lain selain JPJ.
Program ini bukan sahaja menyemarakkan semangat sambutan Hari Gawai, tetapi turut mengiktiraf dedikasi dan pengorbanan anggota penguatkuasa dalam memastikan keselamatan dan kelancaran perkhidmatan awam terus terpelihara.-TVS