KUALA LUMPUR, 27 Mei: Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN – Amerika Syarikat (AS) yang dirancang bergantung kepada maklum balas Presiden Donald Trump, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri, berkata Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 menerima sebarang cadangan dan akan terus berurusan dengan AS atas dasar kesejahteraan rakyat dan menjaga hubungan ekonomi kedua-dua blok.
“Jika esok, saya menerima surat daripada Presiden Trump mengatakan kita akan adakan sidang kemuncak dalam beberapa bulan akan datang, kami (ASEAN) tidak mempunyai masalah.
“Apakah kedudukan ASEAN? Pemusatannya. Apakah tumpuan? Kebajikan, kesejahteraan semua orang, hubungan ekonomi, perdagangan, pelaburan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berakhir Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 di sini, hari ini.
Terdahulu, Anwar pada Isnin memaklumkan bahawa beliau telah mengutus surat kepada Trump untuk menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN-AS bagi menyelesaikan isu tarif timbal balik yang dikenakan Kerajaan AS, serta isu-isu berkait yang lain.
Sementara itu tambah Anwar, ASEAN juga akan terus menjaga hubungan ekonomi dan perdagangan bersama negara-negara lain bagi mendokong nilai blok itu iaitu pemusatan.
“Jika ia bermakna untuk berkerja dengan China, kita akan lakukan. Dengan Amerika Syarikat, ya kita perlu,” katanya.
Beliau memberi contoh, AS merupakan lokasi strategik industri semikonduktor Malaysia dengan 60 peratus eksport adalah ke negara itu.
“Sangat logik untuk terus terlibat dan mempunyai hubungan yang cukup baik dengan AS,” katanya. – TVS