PUTRAJAYA, 27 Mei: Malaysia menyeru negara-negara ASEAN untuk tampil sebagai blok tadbir urus serantau dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global yang semakin mencabar.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, sektor awam perlu menjadi lebih tangkas bagi menterjemahkan cabaran global yang berlaku ketika ini.
“Sektor awam tidak boleh berpeluk tubuh ketika ekonomi global terus berubah.
“Menerusi penjajaran semula perdagangan yang sedang berlaku, ketidaktentuan rantaian bekalan, dan persaingan kuasa besar, ASEAN mesti menjadi lebih daripada sekadar blok geografi,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibaca oleh Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi pada Majlis Peluncuran Persidangan Juruaudit ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Pada masa sama, Shamsul Azri turut menekankan peranan penting Institusi Audit Tertinggi dalam memperkukuh ketahanan ekonomi negara.
“Malaysia kini memperluaskan peranan Ketua Audit Negara bukan sekadar mengesan ketirisan, tetapi juga membimbing kementerian ke arah penyampaian perkhidmatan yang mampan.
“Audit susulan kini menjadi alat strategik untuk memastikan pembaharuan terus dilaksanakan dan program berfokuskan rakyat seperti mitigasi banjir, pendidikan digital dan peralihan tenaga bersih tidak terabai,” katanya.
Beliau turut menyentuh kerjasama serantau dalam kalangan ekosistem sektor awam ASEAN dalam mencipta nilai bersama.
“Saya melihat peranan yang lebih besar untuk ekosistem sektor awam ASEAN, di mana juruaudit, penggubal dasar dan inovator tadbir urus digital bersama-sama mencipta nilai,” ujarnya. – TVS.