JOHOR BAHRU, 27 Mei: Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini pada Selasa mula dibanjiri ribuan rakyat Sarawak yang ingin pulang ke kampung halaman masing 1 masing untuk meraikan Hari Gawai, kurang seminggu lagi.
Majoriti mereka yang merupakan masyarakat Iban akan terbang ke Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu.
Dijangka lebih 20,000 masyarakat Iban akan menggunakan lapangan terbang ini dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Menurut statistik terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (Johor) terdapat kira-kira 45,000 rakyat Sarawak yang bermastautin di Johor, dengan 70 peratus daripadanya masyarakat Iban dengan majoriti bekerja dalam sektor awam dan swasta di negeri ini.
Seorang perantau, Jossie John berkata, dia antara ribuan yang tidak sabar untuk pulang ke Sarawak bagi meraikan perayaan itu.
“Inilah waktu paling sibuk bagi kami pada setiap tahun kerana sangat teruja untuk pulang ke kampung halaman untuk bertemu keluarga selepas lama tidak pulang,” kata pekerja swasta berasal dari Limbang itu.
Sementara itu, lapangan terbang ini turut menjadi pilihan masyarakat Sarawak yang bekerja di Singapura untuk pulang ke kampung.
Difahamkan, lebih 10,000 rakyat Sarawak di republik itu menggunakan LTAS untuk penerbangan pulang mereka. – TVS.