LIMBANG, 27 Mei: Kanak-kanak kini semakin terdedah menjadi mangsa jenayah penipuan dalam talian akibat ketagihan terhadap penggunaan gajet, kata Penolong Pegawai Daerah Limbang, Mariati Samat.
Menurut beliau, fenomena itu tidak boleh dipandang ringan kerana ketagihan gajet bukan sahaja memberi kesan terhadap interaksi sosial dan prestasi pembelajaran, malah turut membuka ruang kepada jenayah siber seperti penipuan dalam talian.
“Anak-anak memerlukan perhatian dan didikan yang bermula dari rumah. Kita sebagai ibu bapa memainkan peranan penting bagi mengelakkan mereka terlalu leka dengan gajet.
“Kalau orang dewasa pun boleh menjadi mangsa scammer, apatah lagi kanak-kanak yang belum memahami risiko di alam maya,” katanya ketika merasmikan Bengkel Kemahiran Keibubapaan anjuran KEMAS Limbang di Dewan Kampung Pabahanan di sini, hari ini. Turut hadir, Pegawai KEMAS Bahagian Limbang, Khairul Amree Abdul Rahman.
Tambah Mariati, tugas mendidik anak-anak tidak wajar disandarkan sepenuhnya kepada guru memandangkan mereka lebih banyak menghabiskan masa bersama keluarga di rumah.
“Anak-anak merupakan aset penting negara dan perlu diberi pendedahan kemahiran sejak awal. Dunia kini semakin mencabar, dan mereka perlu dibekalkan bukan sahaja dengan ilmu asas membaca, menulis dan mengira, tetapi juga kemahiran hidup dan nilai jati diri,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memuji usaha KEMAS yang terus komited memperkasakan pendidikan awal kanak-kanak melalui pelbagai pendekatan, termasuk penganjuran bengkel seperti itu.
Katanya, bengkel berkenaan memberi penekanan kepada aspek penting termasuk pemakanan seimbang, kesejahteraan mental dan fizikal anak-anak, serta kepentingan pendidikan awal untuk membentuk generasi masa depan yang berkualiti.