KUCHING, 27 Mei: Seorang individu cedera ringan selepas keretanya terbabas lalu terjatuh ke dalam longkang di Jalan Bukit Berangan Ria di Kota Samarahan malam ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.49 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati berlaku kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta jatuh ke dalam longkang.
“(Ketika pihak bomba tiba di lokasi) seorang mangsa didapati masih berada di dalam kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pasukan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menerima rawatan lanjut.
Operasi yang diketuai PBK II Justin Basik itu disertai tujuh anggota dengan kekuatan sebuah jentera FRT dan sebuah unit EMRS. -TVS