KUCHING, 27 Mei: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) wajar meneliti semula operasi segmen komunikasi strategiknya agar lebih relevan dan berkesan dalam menyampaikan maklumat kepada pemegang taruh serta pihak yang berurusan dengan kementerian itu.
Menterinya, Dato Sri Julaihi Narawi berkata sistem komunikasi strategik yang teratur amat penting dalam memastikan segala inisiatif kementerian dapat disebarluaskan secara jelas dan tepat, sekali gus mengelakkan salah faham terhadap sebarang hebahan rasmi.
“Kita perlu memastikan maklumat yang disalurkan kepada orang ramai tepat dan tidak mengundang persepsi yang salah. Ini penting terutama dalam konteks digitalisasi yang menuntut ketelusan serta ketepatan fakta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penghargaan MUT sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-19 dan Sambutan Pra Gawai MUT, di sini, malam tadi.
Menurutnya, MUT mengambil iktibar daripada situasi sebelum ini apabila surat peringatan berkaitan pematuhan Ordinan Pengagihan Gas 2016 yang dikeluarkan kementerian disebarkan kepada media tanpa penjelasan menyeluruh, sehingga menimbulkan reaksi kurang tepat.
“Kita menerima banyak reaksi negatif, khususnya daripada warga maya di Semenanjung Malaysia, apabila surat itu disalah tafsir, justeru, kita perlu menambah baik pendekatan komunikasi agar mesej sebenar tidak disalah erti,” jelas beliau.