KUCHING, 27 Mei: Bidang jahitan dan fesyen kini muncul sebagai antara cabang kerjaya serta keusahawanan yang berpotensi tinggi, bukan lagi sekadar kemahiran tradisional atau kerja sampingan.
Menurut Pensyarah Kanan Kolej Komuniti Rembau, Fara Azeerin A Karim, dalam era moden dan berorientasikan kreativiti masa kini, kemahiran menjahit melangkaui aspek penghasilan pakaian semata-mata, sebaliknya turut merangkumi rekaan fesyen, pembuatan pola (pattern making) serta teknologi tekstil.

Katanya, graduan dalam bidang ini tidak hanya terhad kepada kerjaya sebagai tukang jahit, malah mampu menceburi pelbagai profesion termasuk penyelia pengeluaran pakaian (QC), tukang sulam, pembuat pola, guru jahitan, pembantu pereka fesyen dan usahawan butik sendiri.
“Industri fesyen yang semakin berkembang, termasuk menerusi butik, jenama tempatan serta perniagaan dalam talian, membuka banyak peluang kerjaya dan perniagaan kepada anak muda yang berkemahiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas potensi kerjaya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khususnya bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang mencari hala tuju pengajian.
Menurutnya, kursus jahitan dan fesyen ditawarkan di pelbagai institusi seperti Kolej Komuniti, Giat MARA, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), dan institusi pengajian tinggi swasta dengan pendekatan profesional yang merangkumi aspek jahitan, rekaan, pengurusan perniagaan dan penggunaan teknologi industri pakaian.
Namun, beliau mengakui bahawa industri ini telah lama dimonopoli oleh tenaga kerja asing, terutamanya dari Bangladesh, berikutan permintaan tinggi terhadap perkhidmatan jahitan yang murah dan pantas.
“Walaupun begitu, ini bukan alasan untuk warga tempatan tidak menguasai semula industri ini. Apa yang penting adalah menyediakan perkhidmatan yang berkualiti, kreatif dan profesional,” ujarnya.
Justeru, katanya, pelajar perlu menguasai kedua-dua aspek iaitu seni reka fesyen dan kemahiran teknikal jahitan untuk muncul sebagai tenaga kerja serba boleh serta berdaya saing dalam industri yang kompetitif.
Tambah beliau, dengan kombinasi kreativiti, ketekunan dan pengetahuan pasaran, bidang jahitan mampu menjadi platform kerjaya yang stabil dan membanggakan, sekali gus menjanjikan masa depan cerah kepada generasi muda.