TAWAU, 27 Mei: Hampir separuh bumbung sebuah kilang papan musnah dalam kebakaran di Jalan Tanjung Batu Laut di sini pada Selasa.
Kejadian membabitkan kilang papan itu dilaporkan berlaku sekitar jam 6.36 petang dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau tiba di lokasi lapan minit kemudian.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mohd Yahya Abd Fattah, kebakaran melibatkan bahagian bumbung berkeluasan kira-kira 50×150 kaki persegi daripada keseluruhan struktur kilang seluas 16,000 kaki persegi.
“Struktur bangunan jenis tidak kekal dan api berjaya dikawal pada jam 7.09 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pasukan bomba menggunakan dua aliran dan empat pancutan air dari jentera serta tangki air milik kilang untuk memadam kebakaran.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.07 malam selepas kawasan disahkan selamat dan bebas daripada sebarang risiko kebakaran semula.
Bomba turut mengesahkan tiada mangsa terlibat dalam insiden berkenaan.
Seramai 20 anggota bomba dari BBP Tawau digerakkan bersama empat aset termasuk dua jentera FRT, satu EMRS dan satu kenderaan pacuan empat roda.