KUALA LUMPUR, 27 Mei: Hubungan ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menjadi kunci penting dalam memperkukuh kerjasama antara rantau, membina ketahanan, dan menjamin kemakmuran yang mampan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ASEAN dan GCC mempunyai kemampuan dan pada masa sama memikul tanggungjawab untuk bangkit sebagai tonggak kestabilan dan pemacu pertumbuhan masa depan.
“Perbincangan pada hari ini amat penting untuk memastikan bahawa perkongsian kita kekal dinamik, responsif dan memberi impak yang nyata.
“Saya menantikan satu pertukaran pandangan yang bermakna, yang akan membuka jalan kepada inisiatif-inisiatif konkrit di bawah perkongsian kita yang semakin berkembang dan berpanjangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak ASEAN – GCC ke-2 hari ini.
Yang turut hadir, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan pemimpin – pemimpin ASEAN dan GCC.
Mengulas lanjut, Anwar menyifatkan hubungan ASEAN – GCC sebagai unik kerana terjalin berasaskan kepercayaan, kerjasama dan persahabatan.
Perdana Menteri menambah, ASEAN dan GCC telah mengalami perubahan dan kemajuan signifikan dengan kemampuan berbeza.
“Alhamdulillah, ASEAN merupakan rantau yang paling aman serta mempunyai daya ekonomi yang paling dinamik dan berkembang pesat.
“GCC pula telah membuat perubahan besar daripada padang pasir yang suram kepada masa depan yang dinamik dengan teknologi terkini, kepakaran digital dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Pada 2023 jelas Anwar, GCC merupakan rakan dagang ketujuh terbesar ASEAN, dengan jumlah dagangan mencecah 130.7 bilion dolar Amerika Syarikat (AS).
Katanya, pelaburan antara ASEAN – GCC juga semakin meningkat sekali gus mencerminkan keyakinan yang bertambah kukuh daripada kedua-dua pihak. – TVS