KUCHING, 27 Mei: Sarawak kini bersedia mengorak langkah besar ke pentas pelancongan antarabangsa menerusi dua inisiatif mega yang dijangka mengubah landskap industrinya, iaitu penubuhan syarikat penerbangan milik negeri, AirBorneo, serta cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang baharu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata langkah strategik itu mencerminkan komitmen tinggi kerajaan negeri untuk menjadikan Sarawak sebagai antara destinasi pelancongan utama dunia.
“Melalui penubuhan AirBorneo, Sarawak akan mempunyai peluang untuk merancang dan menetapkan destinasi pilihannya sendiri selaras dengan permintaan pasaran, tanpa bergantung kepada syarikat penerbangan komersial lain.
“Saya percaya, menerusi kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan ternama pada masa hadapan, AirBorneo mampu memperoleh sambungan penerbangan ke hab pelancongan utama dunia dan seterusnya mengembangkan pasaran pelancongan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) di sini, hari ini.
Sementara itu, Abdul Karim berkata, Sarawak memiliki banyak kawasan berpotensi tinggi untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan utama, khususnya di sepanjang kawasan pantai seperti Telok Melano, Pantai Sematan, Pueh, Pantai Pandan, Siar, Sampadi, Pantai Emas Trombol, Pasir Panjang, Pasir Pandak, Sejinjang dan Bako.
“Justeru, kerajaan negeri mengalu-alukan penyertaan pelaburan swasta dalam sektor pelancongan menerusi sebarang model perniagaan yang boleh diterima,” jelasnya.
Dalam pada itu, Abdul Karim turut memaklumkan bahawa pada 21 Mei lalu, Sarawak Forestry Corporation (SFC) telah menandatangani perjanjian konsesi bersama pihak swasta, Sutera Sanctuary Lodges (SSL), bagi mengendalikan dan membangunkan perkhidmatan pelancongan di Taman Negara Niah dan Taman Negara Tanjung Datu.
Perjanjian konsesi selama 20 tahun dengan pilihan lanjutan tambahan 20 tahun itu memberikan hak operasi dan pembangunan kepada SSL bagi perkhidmatan penginapan serta penyediaan makanan dan minuman di kedua-dua taman negara berkenaan.
Inisiatif berkenaan selari dengan visi Sarawak untuk memperkasa sektor ekopelancongan, mempromosikan pelancongan berasaskan komuniti, selain memelihara warisan semula jadi dan budaya negeri.