KUCHING, 27 Mei : Sebanyak 95 jumlah permohonan Dokumen Sementara Individu Tanpa Kewarganegaraan di Sarawak (DSITKS) bagi tempoh 1 Januari 2024 hingga 19 Mei lepas telah diterima sebagai usaha memberikan pengenalan sementara kepada individu tanpa kewarganegaraan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, 35 permohonan telah diluluskan, manakala 60 permohonan ditolak atas sebab tidak memenuhi syarat permohonan.
“Bagi tempoh 1 Januari 2024 hingga 19 Mei 2025, Kementerian telah menerima sebanyak 95 permohonan bagi Dokumen Sementara Individu Tanpa Kewarganegaraan di Sarawak. Daripada jumlah tersebut 35 permohonan (36.8 peratus) telah diluluskan, manakala 60 permohonan (63.2 peratus) telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan,” jelas Fatimah.
Jelas beliau, antara sebab permohonan ditolak termasuklah tiada sijil lahir, sijil lahir yang tidak didaftarkan di Sarawak, tiada permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan dan pemohon merupakan seorang yang berumur lebih daripada 21 tahun.
Dalam perkembangan berkaitan, sehingga April 2025, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak telah menerima dan meluluskan sebanyak 42 permohonan untuk kemasukan indikator “K” dalam kad pengenalan kanak-kanak yang telah memperoleh kewarganegaraan di bawah Perkara 15A.
“Dalam ucapan penggulungan pada sesi persidangan dewan yang lalu, saya telah memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak pada 26 September 2024 telah meluluskan dasar kemasukan indikator “K” ke dalam kad pengenalan kanak-kanak yang diberikan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan. Dasar ini terpakai bagi kes di mana pasangan atau ibu bapa adalah warganegara dan pemastautin Sarawak yang memiliki indikator “K”, dan telah diterimapakai sebagai dasar tambahan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sarawak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada hari ketujuh Mesyuarat Pertama bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini. – TVS