KUCHING, 26 Mei: Kerajaan Sarawak akan melaksanakan Ujian Penilaian Dual Language Programme (UPDLP Sarawak) pada 15 dan 16 Oktober 2025 melibatkan murid Tahun Enam dan pelajar Tingkatan Tiga yang mengikuti program dwibahasa.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pelaksanaan ujian tersebut merupakan satu langkah penting ke arah memastikan pelajar Sarawak menepati piawaian antarabangsa selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk memperkasa sistem pendidikan negeri secara holistik.
“Penilaian ini melibatkan tiga subjek teras dalam Kurikulum DLP Sarawak merangkumi Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris. Kertas peperiksaan bagi subjek-subjek ini dibangunkan oleh guru pakar tempatan.
“Semua kertas peperiksaan akan disemak dan disahkan secara menyeluruh oleh Cambridge University Press and Assessment (CUP&A),” katanya ketika sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Menurutnya, pelaksanaan UPDLP Sarawak merupakan hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Swinburne Innovation Malaysia (SWIM) dan universiti milik Kerajaan Sarawak.
Perjanjian perkhidmatan antara SWIM dan CUPA dimeterai pada 30 April 2025 di Cambridge, United Kingdom dan disaksikan sendiri oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, UPDLP Sarawak akan menjadi ujian standard pertama seumpamanya di Malaysia yang melibatkan pengesahan oleh institusi antarabangsa. -TVS