MIRI, 26 Mei: Seminar Buruh Maritim 2025 yang berlangsung di sini hari ini menarik perhatian pelbagai pemain industri, termasuk sektor minyak dan gas serta perkapalan, dalam usaha memperkasa dan memacu kemajuan sektor maritim negara.
Superintendan Operasi NeoPetro Sdn Bhd, Ummar Mokhtar, berkata program berkenaan membuka ruang bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai hala tuju industri maritim serta peranannya dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
“Saya hadir untuk meneliti bagaimana sektor maritim boleh menyokong industri kami, khususnya dari aspek logistik perkapalan dan kebajikan kru.
“Isu kekurangan kru kapal semakin membimbangkan. Jadi, seminar seperti ini penting untuk mencari pendekatan baharu menarik minat golongan muda menceburi bidang maritim,” katanya ketika ditemui selepas perasmian seminar berkenaan.
Tambahnya, beliau berharap seminar itu mampu merintis penyelesaian jangka panjang terhadap isu kekurangan tenaga kerja laut yang semakin meruncing.
Sementara itu, Pengurus Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan NeoPetro Sdn Bhd, Methushael Spit, berkata isu kebajikan dan keselamatan pekerja maritim wajar diberi penekanan lebih menyeluruh.
“Kru kapal adalah tunjang kepada operasi yang selamat dan cekap. Mereka perlu diberikan latihan secukupnya agar mampu mematuhi prosedur keselamatan yang ketat, khususnya ketika berurusan dengan syarikat berskala besar seperti Petronas,” katanya.
Bagi Eksekutif Pembangunan Perniagaan SeaComm Marine Sdn Bhd, Annabella Aren, seminar itu membuka peluang untuk memperkukuh kefahaman terhadap aspek pematuhan, keselamatan dan perkembangan teknologi dalam sektor maritim.
“Saya menyertai seminar ini untuk menimba ilmu berkaitan regulasi serta keperluan menyesuaikan diri dengan teknologi semasa. Ketika ekonomi negara berkembang, industri maritim juga perlu bergerak seiring perubahan,” ujarnya. – TVS