KUALA LUMPUR, 26 Mei: Sarawak bersedia memperkukuh peranan sebagai rakan strategik dalam menjayakan agenda jangka panjang ASEAN 2045, khususnya dalam bidang keselamatan, ekonomi dan teknologi serantau.
Senator Dato Ahmad Ibrahim berkata, Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur merupakan peluang penting, bukan sahaja untuk mengukuhkan hubungan diplomatik, malah bagi menampilkan potensi wilayah ini sebagai pemacu kerjasama serantau.
“Sarawak berkongsi aspirasi ASEAN dalam memupuk keamanan, membangunkan ekonomi berdaya tahan dan memperluaskan penggunaan teknologi secara beretika. Kami bersedia untuk memainkan peranan lebih aktif dalam menjayakan matlamat ini,” katanya di sini, hari ini.
Sehubungan itu, inisiatif yang digariskan dalam Deklarasi Kuala Lumpur ASEAN 2045 membuka ruang kepada negeri seperti Sarawak untuk menyumbang ke arah masa depan yang lebih mampan, inklusif dan progresif.
Beliau turut menyokong gesaan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. agar Kod Tatalaku Laut China Selatan disegerakan memandangkan Sarawak juga mempunyai kepentingan maritim yang perlu dilindungi secara teratur di bawah kerangka undang-undang.
“Sebagai negeri pesisir dengan zon ekonomi tersendiri, Sarawak akan terkesan secara langsung sekiranya wujud ketegangan di perairan serantau. Oleh itu, penyelesaian secara aman dan berlandaskan undang-undang antarabangsa amat penting,” ujarnya.
Ahmad turut menegaskan peranan Sarawak dalam kerjasama subserantau Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) semakin signifikan dalam usaha menghubungkan ASEAN melalui sektor pelancongan, perdagangan dan infrastruktur.
Menurut beliau, pendekatan pembangunan Sarawak yang menekankan kelestarian alam sekitar, autonomi pentadbiran dan keharmonian antara kaum adalah sejajar dengan semangat ASEAN yang meraikan kepelbagaian.
“Kita mahu ASEAN menjadi contoh integrasi serantau yang bukan sahaja berjaya dalam sektor ekonomi, tetapi juga adil dan menyeluruh kepada semua rakyatnya termasuk komuniti luar bandar seperti di pedalaman Sarawak,” kata beliau.
Tambah beliau, kekuatan sebenar ASEAN terletak pada kesediaannya untuk mendengar suara wilayah dan memperkasa semua negeri.
“Jika diberi ruang dan sokongan, Sarawak sedia membuktikan bahawa keharmonian dalam kepelbagaian mampu menjadi asas kekuatan serantau,” katanya. – TVS