Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
砂交通部长李景胜(坐者中)表示,新机场将规划为智能化、具未来感的现代机场,融合包括人工智能在内的先进技术。

Sarawak lantik perunding antarabangsa buat kajian kebolehlaksanaan KIA baharu

ByAdlina Rahman

KUCHING, 26 Mei: Kerajaan Sarawak kini giat melaksanakan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) yang baharu sebagai langkah strategik memperkukuh kesalinghubungan udara dan merangsang pertumbuhan ekonomi jangka panjang wilayah ini.

Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, lapangan terbang baharu itu dirancang sebagai sebuah lapangan terbang pintar dan futuristik yang bakal menggabungkan penggunaan teknologi terkini termasuk Kecerdasan Buatan (AI) untuk menjamin pengalaman perjalanan lancar dan efisien kepada semua pengguna.

“Sebagai langkah awal, Kerajaan Sarawak telah melantik perunding antarabangsa secara usaha sama dengan perunding tempatan bagi menjalankan kajian pengesahan tapak dan kajian kebolehlaksanaan,” katanya pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak, di sini hari ini.

Menurutnya, Kementerian Pengangkutan Sarawak melantik NACO International Aviation Consultants sebagai perunding utama bersama Jurutera Jasa (Sarawak) Sdn Bhd sebagai rakan kongsi tempatan dan surat pelantikan rasmi diserahkan pada 21 Mei lalu.

Tambahnya, kajian fizikal komprehensif akan dijalankan merangkumi penilaian saiz lapangan terbang serta analisis mendalam terhadap beberapa tapak cadangan untuk menentukan daya maju dan kemampanan jangka panjang projek tersebut.

NACO Netherlands Airport Consultants mempunyai 75 tahun pengalaman global dalam perundingan penerbangan dan terlibat dalam lebih daripada 700 projek lapangan terbang di seluruh dunia.

Syarikat yang beribu pejabat di The Hague itu diiktiraf sebagai peneraju dalam bidang perancangan, kejuruteraan serta operasi lapangan terbang dan pembangunan aerotropolis.

Antara projek terkenal syarikat tersebut ialah Hamad International Airport (Doha), Changi Airport (Singapura), Incheon International Airport (Korea Selatan), Frankfurt Airport (Jerman), dan Amsterdam Schiphol Airport (Belanda).

Sementara itu, berhubung anggaran kos pembinaan, beliau berkata, sebarang anggaran hanya boleh dibuat selepas kajian disiapkan.

“Mengenai kos, kita perlu menunggu hasil kajian daripada perunding terlebih dahulu. Barulah kita boleh menyediakan anggaran yang lebih realistik. Sebab itu penting untuk kita lantik perunding antarabangsa yang berkelayakan dan berpengalaman,” jelasnya.

Kim Shin memaklumkan kajian kebolehlaksanaan itu dijangka siap dalam tempoh sembilan bulan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan