KUCHING, 26 Mei: Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) memperuntukkan sejumlah RM6.7 juta untuk memperkukuh penyelidikan ekosistem Sarawak.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM5.9 juta diagihkan untuk memajukan penyelidikan dalam bidang strategik khususnya tenaga boleh diperbaharui yang memberi fokus kepada bidang hidrogen, solar dan teknologi ombak.
“Inisiatif ini selaras dengan fokus pembangunan Sarawak dan komitmennya kepada inovasi mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN ) Sarawak ke-19 hari ini.
Menurutnya, peruntukan tersebut turut digunakan untuk menyokong dua inisiatif penting yang bertujuan membangunkan bakat anak muda dan pelajar sekolah.
“Baki sebanyak RM800,000 pula diperuntukkan untuk menyokong dua inisiatif utama yang bertujuan membangunkan bakat muda dan pelajar sekolah iaitu Program BrightSparX dan Program Anugerah Inovasi BrightSparX Premier.
“Kedua-dua program ini dirangka untuk memberi inspirasi kepada generasi baharu Sarawak,” ujarnya.-TVS