KUCHING, 26 Mei: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM300 juta setahun untuk melaksanakan pendidikan percuma bermula tahun 2026.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, inisiatif tersebut akan memberikan manfaat kepada lebih 10,000 pelajar setiap tahun khususnya dalam bidang strategik dan berimpak tinggi.
“Kami menetapkan semua ini berdasarkan anggaran. Jumlahnya kira-kira RM300 juta setahun dan ia mungkin berbeza setiap tahun. Sudah tentu, pada tahun-tahun berikutnya, jumlah pelajar yang terlibat dijangka meningkat,” katanya pada sidang media selepas sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin.
Menurutnya, Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) merangkumi kursus dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), perubatan, kewangan, perakaunan dan undang-undang.
“Sudah tentu, perkara utama ialah FTES iaitu pendidikan percuma yang akan bermula pada tahun 2026. Ia melibatkan kursus berkaitan STEM terlebih dahulu.
“Selain itu, kursus-kursus dalam bidang perubatan, kewangan, perakaunan, psikologi dan undang-undang juga akan ditawarkan secara percuma,” ujarnya.
Sagah berkata, bagi memastikan pendidikan percuma benar-benar inklusif dan berkesan, kerajaan turut menyediakan sokongan tambahan seperti komputer riba bernilai RM3,000 kepada 9,000 pelajar serta baucar buku sebanyak RM500 untuk 3,000 pelajar.-TVS