KUCHING, 26 Mei: Rabies kekal sebagai ancaman kesihatan awam yang serius di Borneo, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom.
Beliau berkata, setakat 23 Mei lepas, sebanyak tiga kes baharu rabies dilaporkan di Kuching, Samarahan dan Bintulu menyaksikan wabak tersebut masih wujud di bandar utama di Sarawak.
Menurutnya, sejak bermulanya wabak tersebut pada 2017, pihak berkuasa telak melakukan vaksin terhadap 267,883 haiwan sebagai sebahagian strategik pencegahan agresif.
“Dalam tempoh sama, sebanyak 4,858 sampel dikumpulkan dan diuji yang mana 1,140 atau 23 peratus didapati positif sekali gus menunjukkan ia ancaman berterusan di rantau ini,” katanya pada sidang media Persidangan Rabies Borneo (RIB) keempat di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Dr. Rundi berkata, RIB bukan sekadar persidangan saintifik tetapi seruan untuk bertindak di bawah tema Borneo Bebas Rabies: Menyatukan Rakyat, Haiwan dan Komuniti.
“Delegasi berpeluang menunjukkan komitmen mereka terhadap kesihatan awam dan kebajikan haiwan, bertukar kepakaran serta mengambil bahagian dalam membentuk dasar dan program yang melindungi nyawa manusia dan haiwan,” ujarnya.
RIB edisi keempat berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dari 30 September hingga 1 Oktober.
Persidangan dua hari itu menghimpunkan delegasi tempatan dan antarabangsa dalam usaha membasmi rabies di wilayah ini.-TVS