KUCHING, 26 Mei: Sebanyak enam kontrak pakej infrastruktur dianugerahkan di bawah projek pembangunan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, setakat ini, dua pakei berjaya disiapkan melibatkan kerja asas tanah lanjutan bagi Depot Rembus dan pembinaan laluan sepanjang tiga kilometer (KM) yang penting untuk ujian Bukti Konsep (POC) di Samarahan.
“Selebihnya empat pakej sedang dalam pelaksanaan termasuk Pakej Infrastruktur Depot Rembus, Pakej Laluan Biru 1, Pakej Laluan Biru 2 dan Pakej Laluan Merah.
“Sementara itu, pakej infrastruktur Laluan Hijau kini berada di peringkat persediaan untuk tender.
“Secara keseluruhan, kemajuan sebenar untuk Fasa 1 KUTS setakat April 2025 iaitu 29.89 peratus berbanding sasaran 33.86 peratus,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19 hari ini.
Menurutnya, walaupun Sarawak telah memulakan pembangunan pengangkutan awam hijau melalui KUTS sejak Oktober 2022, terdapat perkembangan terkini dalam komitmen Malaysia untuk memajukan penyelesaian tenaga bersih dan mobiliti lestari.
Sementara itu, Kim Shin berkata, rancangan untuk mentransformasikan sektor pengangkutan awam Sarawak kini sedang dilaksanakan termasuk perancangan dan pembangunan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) bersepadu bagi meningkatkan penyelarasan perkhidmatan, kecekapan operasi serta keseluruhan pengalaman perjalanan penumpang.
“Walaupun perancangan, pembangunan dan penyepaduan sistem ini masih berada pada peringkat awal, kementerian saya memulakan langkah praktikal untuk memodenkan rangkaian pengangkutan awam.
“Sejak pelancaran 14 unit perkhidmatan bas pintar peringkat pada Oktober 2024 di Miri, inisiatif ini menerima sambutan amat menggalakkan daripada orang awam dan mencatatkan sebanyak 455,068 penumpang dalam tempoh enam bulan,” ujarnya.-TVS